SUBUH:
------
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu
tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang
dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat.
Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.
ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu
tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi
Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu
sujudlah Nabi Ibrahim empat rokaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan. Rakaat kedua:-Bersyukur kerana
dibukakan dukacitanya dan juga anaknya. Rakaat ketiga:- Bersyukur dan
bermohon akan keredhaan Allah. Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya
digantikan dengan tebusan kibas
ASAR:
-----
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala
baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan
Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka
bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah
diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan.
Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan. Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga:-Kelam dengan malam. Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan
Nun.
MAGHRIB:
--------
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala
baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang
waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang
tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut.
Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha
Esa. Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya
Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang. Rakaat ketiga:-
Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada
dua atau tiga.
ISYAK:
------
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada
ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan,
sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan
semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah
Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama:-Dukacita terhadap isterinya. Rakaat kedua:- Dukacita terhadap
saudaranya Nabi Harun. Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.
No comments:
Post a Comment